KUALA LUMPUR: “Apa yang paling penting, papa gembira,” kata Mohd Ashraf, 14, anak kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang hadir pada sidang media bapanya bersama Siti Nurhaliza bagi mengumumkan tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan mereka, semalam.
Kehadiran Ashraf yang juga anak ketiga Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K menunjukkan semua keempat-empat anaknya merestui pernikahan dengan penyanyi tersohor negara itu.
Ashraf yang hadir bersama ibu saudaranya, Zaini Mohamad Jiwa dan dua sepupunya, berkata dia merestui pilihan bapanya kerana apa yang penting, dia gembira.
“Saya minta jangan ada pihak cuba kucar-kacirkan suasana. Harap kenyataan saya juga tidak ditokok tambah,” kata Ashraf ketika ditemui selepas sidang media berkenaan di Hotel The Zon On The Park, Jalan Ampang di sini, semalam.
Ashraf turut mengakui pernah bertemu Siti ketika penyanyi itu berkunjung ke rumahnya.
Malah, dia meminati Siti sebagai penyanyi dan memanggilnya Kak Siti.
Siti, 27, turut mengakui antara faktor utama membuatkan dia tertarik dengan Khalid, 47, ialah kasih sayang beliau terhadap semua anaknya.
Dia berkata, biarlah keistimewaan yang ada pada bakal suaminya itu menjadi rahsia peribadinya tetapi apa yang ingin dikongsi bersama peminat ialah terharu melihat kasih sayang Khalid kepada anaknya.
Mengenai penerimaan empat anak Khalid yang berumur tujuh hingga 19 tahun, Siti berkata, dia akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu kepada mereka. Anak Khalid yang lain ialah Mohd Anas, 19, Mohd Adib, 16, dan Mohd Azif, 7.
Siti juga mengatakan dia bersedia berhadapan dengan peminat yang mungkin tidak menyukai pilihan hatinya serta tuduhan dia merampas suami orang.
“Apabila menjadi artis, berhadapan dengan soalan, cabaran, spekulasi dan komen adalah perkara biasa. Saya sudah lalui semua itu.
“Dalam hal ini saya sudah fikir masak-masak. Saya juga sudah berdoa dan minta petunjuk. Kini saya sedia berkongsi berita ini dengan peminat,” katanya.
Ibu bapa Siti, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik turut hadir pada sidang media itu sebagai tanda restu mereka terhadap pilihan Siti.
Selain itu, ibu Khalid, Siti Zainab Hanafi bersama kakak dan adik perempuan Khalid, Zaiton dan Zaini turut hadir.
Sebelum Khalid dan Siti menjawab soalan wartawan, Tarudin mengatakan sebagai bapa, dia merestui perkahwinan Khalid dengan Siti.
Dia mengakhiri ucapan ringkasnya dengan pantun empat kerat antara lain mengatakan betapa susahnya mendapatkan Siti, macam-macam tohmahan dan sengketa.

Antara pantun bapa siti
“Pahlawan Pahang berbadan sasa, tidak gentar walau sesiapa,
Datuk Mat Kilau akan namanya, baik pekerti sopan berbahasa,
di pihak kami seisi keluarga, ditentukan jodoh syukur kepadanya.

“Kembang mawar di waktu pagi, tumbuh subur di laman mami, peranan media disanjung tinggi, tidak terbalas keluarga kami....

0 comments

Post a Comment

Subscribe to: Post Comments (Atom)